KAMPUNG TABA SAIT, 54 KELUARGA
Bentuk Rumah Kampung Taba Sait
yang pastinya akan menjadi
kenangan dan sejarah satu hari nanti.
Nama Kampung
Taba Sait berasal dari dua nama tempat yang berbeza. Pada sekitar tahun 1893,
para penduduk tinggal di tempat yang dinamakan Taba. Setelah lama menetap di Taba, mereka berpindah ke kawasan baru di tepi sungai yang di namakan Sait. Ini
kerana mereka susah untuk mendapatkan air pada musim kemarau. Selepas itu nama
kampung diberi nama Kampung Taba Sait. Sehingga hari ini, terdapat 54 buah
keluarga yang tinggal di kampung tersebut.
Kampung Taba
Sait terletak di kawasan Padawan iaitu kira-kira 55 km dari bandaraya Kuching.
Penduduknya adalah dari suku kaum Bidayuh. Perjalanan ke kampung Sait dari
bandaraya Kuching hingga ke kampung Bengoh mengambil masa selama 40minit dengan
menggunakan kereta. Selepas itu perjalanan diteruskan menggunakan lorong denai
iaitu berjalan kaki meredah hutan selama 45 minit.
Jambatan gantung diperbuat daripada buluh.
Aktiviti utama
penduduk ialah menanam padi, bercucuk tanam, memburu dan menangkap ikan. Mereka
menanam padi untuk kegunaan sendiri sahaja. Aktiviti menanam padi bermula pada
bulan julai di mana penduduk akan mencari tapak dan menebas serta menebang pokok
untuk membersihkan kawasan pertanian. Pada bulan September penduduk akan
melakukan pembakaran untuk menyuburkan tanah pertanian tersebut. Penduduk akan
mula menanam padi pada penghujung bulan September. Buah padi akan masak pada
pertengahan bulan Febuari dan aktiviti menuai padi akan bermula pada waktu itu.
Disamping itu
juga, mereka mahir dalam memburu
binatang dan menangkap ikan. Mereka memburu dan menangkap ikan secara
berkumpulan. Hasil tangkapan akan dibahagi sama rata. Begitulah rutin kehidupan
penduduk di kampung Taba Sait.
Dari segi
pendidikan pula, tidak ramai penduduk kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke
peringkat pengajian tinggi.
Keriangan dan
kegembiraan penduduk yang tinggal di kampung Taba Sait tidak bertahan lama
apabila Kerajaan negeri Sarawak telah
memutuskan untuk membuat Empangan Bengoh yang bernilai RM250 juta pada tahun
2007. Reaksi awal penduduk adalah marah dengan projek tersebut kerana ianya
akan memusnahkan tanaman, kebun dan juga tanah penduduk kampung. Perbincangan
demi perbincangan di antara penduduk kampung dengan pihak berwajib diadakan
namun penduduk kampung tetap dengan keputusan membantah pembinaan empangan
tersebut. Apa yang dirisaukan penduduk ialah kekurangan tanah untuk mereka
menjalankan aktiviti pertanian dan juga kemusnahan kebun dan juga dusun yang
diwarisi dari nenek moyang. Walaupun dibayar oleh pihak yang berwajib namun
duit bukanlah segala – galanya bagi penduduk kampung. Apa yang penduduk mahu
ialah sekiranya tanah mereka diambil seluas 50 hektar, maka harus diganti
dengan tanah seluas 50 hektar. Bayaran cuma dikenakan ke atas tanaman yang
terdapat di atas tanah tersebut. Namun permintaan tersebut ditolak dengan
alasan penduduk kampung diberikan rumah secara percuma.
Walaubagaimanapun
bantahan yang diadakan tidak menbawa hasil apabila kerajaan negeri Sarawak
tetap meneruskan projek empangan tersebut. Kalau diikutkan bantahan yang di
buat, majoriti orang kampung tidak bersetuju dengan empangan tersebut. Tetapi
bagaimana projek ini dapat diteruskan? Siapakah dikalangan orang kampung yang
menandatangani perjanjian yang membolehkan projek ini diteruskan tidak
diketahui sehingga ke hari ini.
Pertemuan yang
terakhir dengan pihak berwajib mendapat penyelesaian di mana penduduk kampung
dibenarkan tinggal di kawasan sekitar kampung Sait di mana ianya mesti di luar
kawasan perimeter survey. Oleh yang demikian, ketua kampung memutuskan untuk
membuat penempatan baru di MUK AYUNG. Terdapat 21 buah keluarga yang enggan
berpindah ke penempatan baru yang di sediakan.
Akhirnya, mahu tak mahu kumpulan mereka ini terpaksa menyertai parti pembangkang tanda mereka tidak bersetuju atau membantah pihak kerajaan melaksanakan Empangan Bengoh. Hati mereka sudah tertutup untuk mengadu ke pihak yang berwajib. Kehidupan mesti diteruskan. Kejayaan tidak datang bergolek. Namun yang pastinya, kumpulan mereka ini akan terus tersisih dari segi pendidikan kerana tiada lagi tempat anak muda untuk bersekolah setelah sekolah asal di pindahkan ke penempatan baru.
Penempatan yang
disediakan oleh kerajaan pula terletak di kawasan Semadang dan Bau. Penempatan
yang dijanjikan disediakan dengan rumah seperti yang sedia ada, elektrik,
kemudahan air terawat, sekolah, gereja, balairaya, padang bolasepak, tanah pertanian
dan tempat berniaga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan